1,742 aduan diterima menerusi Aduan Suri

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

BANDA HILIR 9 Mac – Sebanyak 1,742 aduan berkaitan pelbagai isu kepenggunaan menerusi kod QR Aduan Suri dalam tempoh Januari hingga 7 Mac lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata aduan itu diterima menerusi aplikasi Whatsapp yang dilancarkan pada 11 Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 168 aduan terdiri daripada pengguna di Melaka yang mana 47 peratus atau 79 aduan daripada jumlah itu adalah wanita manakala 53 peratus atau 89 aduan diterima daripada golongan lelaki.

Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah aduan diterima itu, kategori aduan paling tinggi diterima membabitkan transaksi dalam talian dengan 64 aduan manakala kategori harga 40 aduan dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 26.

“Aduan Suri ini kita telah lancarkan di peringkat Kedah, Johor dan hari ini di peringkat Melaka, yang mana platform ini diwujudkan untuk mendaya upayakan wanita sebagai pengguna, jadi aduan itu setakat ini dah dua bulan 1,742 yang kita terima.

“Yang menariknya, kita dapati Aduan Suri ini juga terdiri daripada pengguna lelaki dan inisiatif ini juga diharap dapat menggalakkan para suri rumah untuk bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak sebagai pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Program Wanita Pengguna Cakna, Bangkit Mendepani Cabaran Dunia sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia dan Hari Wanita Sedunia.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna), Datin Roszanina Wahab serta Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.

Dalam pada itu, Fuziah berkata kementeriannya turut menerima sebanyak 29,265 aduan kepenggunaan daripada pelbagai saluran seperti aplikasi EzAdu, portal e-Aduan (https://e-aduan.kpdnhep.gov.my) dan talian hotline (1-800-886-800) sepanjang tahun lalu.

Katanya, aduan kepenggunaan berkaitan transaksi atas talian merekodkan aduan tertinggi iaitu sebanyak 8,847, diikuti dengan aduan mengenai harga sebanyak 7,259 dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 6,095 aduan.

“Aduan bagi negeri Melaka pula pada tahun lalu merekodkan sebanyak 785 aduan dan sejumlah 95% daripada aduan tersebut telah selesai diambil tindakan.

“Daripada jumlah keseluruhan aduan tersebut, sebanyak 330 aduan terdiri daripada golongan wanita dan ini menjadi pentunjuk pengguna, terutamanya golongan wanita khususnya suri rumah menyedari serta memahami akan hak mereka untuk menyalurkan aduan kepada kementerian apabila berlakunya sebarang salah laku di pihak yang diadu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

971
Kongsi :
Previous post Tiada isu RTB terbengkalai di Melaka
Next post PBT lebih tegas tangani ‘ulat parkir’ di bazar tahun ini – Exco
Ubah saiz-+=