PBT lebih tegas tangani ‘ulat parkir’ di bazar tahun ini – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JASIN 9 Mac- Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan lebih tegas menangani isu ‘ulat parkir’ di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri sekitar Melaka pada tahun ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata tindakan tegas akan diambil kepada individu atau mana-mana kumpulan yang dikenal pasti menjalankan kegiatan terbabit.

Katanya, pihak PBT akan meletakkan wakil-wakil PBT di setiap bazar bagi memantau aliran trafik, parkir yang disediakan dan tangani isu ulat tiket.

“Kita telah menasihati semua penganjur untuk patuhi peraturan yang ditetapkan.

“Antara lain yang ditekankan adalah isu pengurusan sampah di lokasi penganjuran bazar, ianya perlu diberi perhatian khusus.

“Kerana isu itu saban tahun berlaku, jadi kita mahu penganjur lebih peka dan mengatasi masalah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Back To School di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Lipat Kajang, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata beliau juga telah memaklumkan kepada semua penganjur untuk mengambil anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menjaga aliran trafik.

“Kita juga minta penganjur untuk mengambil RELA bagi menjaga aliran trafik dan parkir yang disediakan serta mengawal keadaan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri sekitar Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1177
Kongsi :
Previous post 1,742 aduan diterima menerusi Aduan Suri
Next post Kerajaan perkasakan projek akuakultur negara
Ubah saiz-+=