Kerajaan perkasakan projek akuakultur negara

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LINGGI 9 Mac – Kerajaan akan terus memperkasakan projek-projek akuakultur seluruh negara bagi memastikan keterjaminan bekalan perikanan mencukupi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini negara hanya merekodkan sebanyak 20 peratus hasil daripada projek akuakultur, manakala baki 80 peratus adalah hasil perikanan daripada laut.

Mohamad berkata kerajaan mahu jumlah itu ditingkatkan kepada nisbah 60:40 iaitu 60 peratus daripada laut manakala 40 peratus lagi menerusi sumber penternakan projek akuakultur.

“Bukan diternak di darat tetapi di pesisir laut atau sungai. Nelayan diminta agar lebih aktif dalam aktiviti perikanan dan bagi jangka masa panjang kerajaan menggalakkan mereka ini untuk meneroka laut dalam.

“Sekarang ramai dalam kalangan nelayan Pantai A adalah golongan Bumiputera. Selepas ini diharapkan lebih ramai Bumiputera terbabit dalam aktiviti perikanan laut dalam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di bawah Projek PSN Negeri Melaka di Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yusoff Othman.

Beliau berkata kerajaan sentiasa peka dengan nasib dan kebajikan para nelayan, berikutan itu pelbagai bentuk bantuan akan terus disalurkan kepada golongan itu, sekali gus memperkasakan lagi industri perikanan negara.

“Dengan kemudahan ini diharap dapat memberikan keselesaan kepada nelayan. Kementerian melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur seperti kompleks atau jeti pendaratan dan stor enjin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1852
Kongsi :
Previous post PBT lebih tegas tangani ‘ulat parkir’ di bazar tahun ini – Exco
Next post Penantian hampir sedekad jadi kenyataan
Ubah saiz-+=