Sorting by

×

Penantian hampir sedekad jadi kenyataan

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LINGGI 9 Mac – “Saban hari anak-anak bertanya, tetapi saya hanya mampu minta mereka supaya bersabar. Saya yakin mesti ada rezeki untuk anak-anak yang masih kecil.

“Apa tidaknya kami ini menumpang di tanah orang,” kata Rozali Zakaria, 47, tidak henti meluahkan rasa syukurnya apabila menerima sebuah kediaman baharu menerusi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Negeri Melaka.

Rozali nelayan berpangkalan di Pantai Kundor berkata, selama ini dia bersama isteri dan empat anak tinggal di rumah dibina di atas tanah tinggalan arwah neneknya.

“Saya terlampau gembira, syukur alhamdulillah sebab penantian ini memang lama. Rumah baharu ini pasti akan memberikan keselesaan kepada anak-anak yang selama ini kerap bertanya bila akan pindah ke kediaman sendiri.

“Sejak 2018 kami sekeluarga banyak kali ke tapak projek ini untuk melihat rumah baharu. Kali ini telah disiapkan kami benar-benar bersyukur kerana akhirnya ada rumah sendiri

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang banyak membantu. Tidak dilupakan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang sangat banyak membantu saya untuk memiliki rumah ini,” katanya ketika ditemui di kediaman baharunya di Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 2.42.27 PM
ROZALI meluahkan rasa syukur kerana dipilih menjadi penerima kediaman baharu menerusi program PSN.

Terdahulu, Rozali menjadi antara 60 nelayan sekitar Negeri Melaka menerima replika kunci kediaman masing-masing pada Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di bawah Projek PSN Negeri Melaka, disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menerusi insiatif itu, seramai 60 keluarga nelayan terpilih dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan menerima kunci kediaman baharu jenis berkembar (Semi-D) dibangunkan di tapak berkeluasan 5.608 hektar di Taman Desa Bayu.

Sementara itu seorang lagi nelayan, Haron Sapar, 67, turut menerima kunci berkata, apa yang lebih menggembirakan adalah dia bersama keluarga akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri  di kediaman baharu.

“Penantian hampir satu dekad ini umpama mimpi jadi kenyataan, selama 26 tahun saya menumpang di tanah pusaka milik keluarga.

“Harapan saya untuk ada rumah sendiri amat tinggi, setiap tahun pasti kami akan datang tengok rumah. Anak saya yang bongsu sekarang sudah tingkatan lima, syukur akhirnya hari ini semuanya jadi kenyataan.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana beri peluang kepada kami sekeluarga yang mana lebih 40 tahun saya jadi nelayan ini antara salah satu pemberian yang amat bermakna, ” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1721
Kongsi :
Previous post Kerajaan perkasakan projek akuakultur negara
Next post Lebih 1,000 warga Pengkalan Batu ‘serbu’ Hari Bertemu Rakyat
Ubah saiz-+=