Lebih 1,000 warga Pengkalan Batu ‘serbu’ Hari Bertemu Rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PENGKALAN BATU 9 Mac – Lebih 1,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu memeriahkan Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Peringkat DUN Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Meskipun terpaksa berjalan lebih 500 meter di bawah terik matahari namun masyarakat setempat tidak melepaskan peluang bertemu dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, sambutan tersebut adalah di luar jangkaan pihaknya, sekali gus menunjukkan program berkenaan amat dinanti-nantikan rakyat.

“Daripada sambutan diterima memang program ini mendapat impak positif daripada rakyat, mereka meluangkan masa datang untuk berkongsi dan suarakan permasalahan mereka kepada kami untuk diselesaikan. Pelbagai aduan diterima antaranya kebersihan dan perparitan.

“Ketua Menteri amat prihatin dengan setiap apa yang diadu dan disuarakan dan beliau sebolehnya cuba menyelesaikan dengan kadar segera bagi keselesaan rakyat. Jadi sebab itu ramai yang hadir hari ini untuk berjumpa dan bertentang mata dengan beliau.

“Selain itu penduduk juga tidak lepaskan peluang hadir ke gerai-gerai yang terlibat seperti dengan membuat pemeriksaan kesihatan, mengemas kini status e-Kasih serta menyertai program rambut secara percuma,” katanya.

photo_2023-03-09_16-22-36
 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu merangkap Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin berucap pada Hari Bertemu Rakyat DUN Pengkalan Batu Bersama YAB Ketua Menteri di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, Jalan Bachang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, pada program itu juga turut diadakan penyampaian sumbangan Bantuan Khas Ibu Tunggal Kerajaan Negeri Melaka dan bantuan persekolahan daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

“Seramai 230 ibu tunggal menerima bantuan ‘one off’ daripada Kerajaan Negeri manakala TAPEM pula menyampaikan sumbangan baucar pembelian pakaian sekolah kepada 20 murid sekolah sebagai persiapan memulakan sesi persekolahan 2023,” katanya.

Selain itu, pada program sama, Kalsom turut menyampaikan kuntuman bunga ros kepada kira-kira 100 wanita sebagai penghargaan kepada kaum hawa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1794
Kongsi :
Previous post Penantian hampir sedekad jadi kenyataan
Next post Anak asnaf teruja pilih sendiri kelengkapan sekolah
Ubah saiz-+=