
KARNIVAL FALAK BENTUK SAHSIAH UNGGUL MUSLIM
TANJUNG BIDARA 19 Ogos – Penganjuran Karnival Falak Peringkat Kebangsaan 2026M/1448H di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu pada 11 hingga 13 September nanti menyentuh pelbagai aspek, sesuai dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan lagi sahsiah masyarakat Muslim.
Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, karnival bukan sekadar mengajak pengunjung melihat pameran berkaitan sains, teknologi dan astronomi semata-mata, sebaliknya melibatkan mereka secara langsung dalam aktiviti keagamaan, majlis ilmu, kesenian serta sukan.
Katanya, selain agensi dan jabatan Negeri Melaka aktiviti disusun turut melibatkan kerjasama institusi pendidikan, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Contoh kita ada bengkel kemahiran falak pengendalian dron, cerapan hilal Rabiul Akhir dan cerapan langit malam, program kemahiran falak arah kiblat serta bengkel dan pertandingan astrofotografi.
“Kita juga sentuh aspek sukan menerusi penganjuran fun walk dan pertandingan sepak raga bulatan. Kemuncak karnival adalah Malam Intifadah pada 12 September yang menampilkan kumpulan nasyid Rabbabi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, bagi memeriahkan lagi karnival pihak penganjur turut menyediakan cabutan bertuah buat pengunjung yang hadir sepanjang tiga hari berkenaan.
“Hadiah utama cabutan bertuah adalah misteri, jadi datang beramai-ramai beriahkan karnival ini nanti yang berlangsung sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

