LEBIH 30,000 HADIR IJTIMAK TABLIGH ZON SELATAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Lebih 30,000 jemaah membanjiri Masjid Al-Azim bersempena Ijtimak Tabligh Zon Selatan yang berlangsung pada hujung minggu lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program selama tiga hari dari 14 hingga 16 Ogos lalu berlangsung dengan lancar dan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, sebelum bermulanya majlis itu pihak penganjur terlebih dahulu meminta kebenaran untuk menggunakan Masjid Al-Azim dan sekitarnya.

“Penganjur terlebih dahulu datang berjumpa dan meminta izin untuk mengadakan program di Masjid Al-Azim dan saya tiada halangan asalkan mereka mengikut peraturan ditetapkan.

“Malah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga bersetuju Ijtimak Tabligh Zon Selatan diadakan dan sepanjang tiga hari majlis berlangsung dianggarkan lebih 30,000 orang telah hadir.

“Walaupun ia peringkat Zon Selatan tetapi jemaah negeri lain termasuk negara jiran turut hadir malah pada kemuncak majlis kira-kira 15,000 jemaah hadir menunaikan solat Isyak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rahmad yang juga Pengerusi Masjid Al-Azim berkata, pihak penganjur turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang menggunakan kemudahan dan utiliti milik kerajaan sepanjang majlis berlangsung.

“Sebaik selesai majlis pihak penganjur juga telah membersihkan keseluruhan kawasan yang digunakan dan memastikan kembali kepada keadaan asal.

“Malah di pihak Kerajaan Negeri kita amat mengalu-alukan program seperti ini kerana ia secara tidak langsung dapat meningkatkan imej Melaka sebagai sebuah negeri yang sentiasa memartabatkan syiar Islam,” katanya.

Jelasnya, Melaka sentiasa mengalu-alukan sekiranya sekali lagi dipilih sebagai lokasi penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post 300 PETUGAS PILIHAN RAYA DUN N10 ASAHAN TERIMA TAKLIMAT PERSEDIAAN AWAL PRN
Next post KARNIVAL FALAK BENTUK SAHSIAH UNGGUL MUSLIM