300 PETUGAS PILIHAN RAYA DUN N10 ASAHAN TERIMA TAKLIMAT PERSEDIAAN AWAL PRN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 19 Ogos – Lebih 300 petugas pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Asahan telah menghadiri taklimat persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Pengurus Pilihan Raya DUN N10 Asahan, Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata, sesi taklimat berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Ogos di Dewan Iltizam, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar.

Katanya, taklimat disampaikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Pahang, Dato’ Zamree Hamli menyentuh
aspek peranan, tanggungjawab dan tatacara pelaksanaan tugasan pilihan raya, khususnya bagi persediaan sebelum, semasa dan selepas hari pengundian.

“Tumpuan diberikan kepada petugas bertindak sebagai Ketua Tempat Mengundi (KTM), Kerani Pengundian, Penyelia Pusat Mengundi serta petugas-petugas di bawah seliaan Penyelia Pusat Mengundi dalam menguruskan pusat-pusat mengundi bagi DUN N10 Asahan.

“Taklimat turut melibatkan aspek persediaan lokasi mengundi, pengurusan daftar pemilih, proses pengundian, pengurusan pusat mengundi pada hari pengundian serta tugasan dan tindakan selepas proses pengundian selesai.

“Kita mahu petugas faham tugas masing-masing mematuhi perjalanan pilihan raya, mengelakkan perkara tidak sepatutnya bagi memastikan proses pilihan raya dapat dilaksanakan secara teratur, telus, profesional dan berintegriti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, petugas melibatkan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti kakitangan awam, swasta dan individu berminat untuk menyumbangkan tenaga dalam pengurusan pilihan raya.

Jelasnya, taklimat selama dua hari itu juga menjadi platform untuk menyelaraskan kefahaman petugas berkaitan tugasan masing-masing, selain memberikan ruang kepada mereka mendapatkan penjelasan mengenai perkara-perkara berkaitan dengan pengurusan pusat mengundi dan proses pengundian.

“Persediaan awal yang dilaksanakan ini diharap dapat memastikan semua petugas bagi DUN N10 Asahan berada dalam keadaan bersedia dan mampu melaksanakan amanah yang diberikan secara cekap, profesional, telus dan berintegriti, selaras dengan peraturan serta tatacara pilihan raya yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

184
Kongsi :
Previous post ANAK-ANAK AUTISME ‘CABAR DIRI’ NAIK PERKHIDMATAN AWAM