ANAK-ANAK AUTISME ‘CABAR DIRI’ NAIK PERKHIDMATAN AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 19 Ogos – Seramai 13 kanak-kanak autisme diberi pendedahan berhubung cara menggunakan perkhidmatan awam Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menerusi program bertujuan membina keyakinan serta kemahiran interaksi sosial dalam persekitaran sebenar.

Ketua Projek Wheels On The Train 2.0 : Journey Beyond Limits, Dr. Siti Nurul Akma Ahmad berkata, program anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah itu adalah kesinambungan selepas kejayaan penganjuran siri pertama.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas serta keluarga mengenai penggunaan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan ETS.

“Selain itu juga ia secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta mengikuti pembelajaran secara langsung dalam persekitaran yang selamat, terkawal dan inklusif,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, sepanjang program peserta bukan sahaja berpeluang menaiki ETS, tetapi turut didedahkan kepada tatacara menggunakan pengangkutan awam termasuk pengalaman berada di stesen serta mengikuti perjalanan tren.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi program ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada kanak-kanak autisme untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan serta memperoleh pengalaman baharu secara positif dan berperingkat.

“Malah penglibatan ibu bapa dan penjaga turut dilihat penting dalam memberikan sokongan kepada anak-anak untuk meneroka pengalaman baharu, sekali gus membantu membina keyakinan diri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post PEMBINAAN JAMBATAN STULANG DAENG-PULAU GADONG BERMULA SEPTEMBER