PEMBINAAN JAMBATAN STULANG DAENG-PULAU GADONG BERMULA SEPTEMBER

Masa Membaca:57 Saat

KLEBANG 19 Ogos – Kerja pembinaan Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong dijangka dimulakan awal September depan, dengan proses awal pengalihan utiliti dan pemasangan platform pembinaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi mesyuarat penyelarasan yang diadakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan perkembangan serta persiapan pelaksanaan projek berkenaan.

“Kerja pengalihan utiliti dan pemasangan platform dijangka menjadi langkah awal yang penting sebelum kerja-kerja utama pembinaan jambatan dilaksanakan.

“Ia kemudian akan disusuli dengan kerja merobohkan jambatan lama yang sebahagian strukturnya sudah runtuh,” katanya.

Menurutnya, pembinaan jambatan itu diharap dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat setempat selain meningkatkan kelancaran perhubungan di kawasan tersebut.

“Semoga kerja pembinaan jambatan ini berjalan lancar dan sekali gus akan memberi kesenangan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.

Pembinaan jambatan baharu bernilai kira-kira RM9.4 juta itu dijangka siap pada September 2027.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

189
Kongsi :
Previous post AMBANG MERDEKA SEMARAKKAN WRUR TABOH NANING