256 PROJEK INFRA RAKYAT MENDAHULUI JADUAL – AHMAD

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 20 Ogos – Sebanyak 256 daripada 871 projek infrastruktur rakyat yang kini dalam pembinaan berada pada prestasi mendahului jadual, menunjukkan pelaksanaan projek pembangunan fizikal negara berada pada landasan positif.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, jumlah itu mewakili 29.39 peratus daripada keseluruhan projek yang sedang dalam pembinaan, manakala 304 projek atau 34.90 peratus lagi berjalan mengikut jadual.

Katanya, secara keseluruhan, 560 projek atau 64.29 peratus daripada 871 projek dalam pembinaan kini berada dalam keadaan baik dan berjalan lancar.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dalam memastikan projek pembangunan fizikal dilaksanakan secara teratur, berkualiti dan mengikut tempoh ditetapkan.

“Pengurusan projek yang cekap dan bersepadu, khususnya dalam aspek perancangan, penyelarasan rentas agensi serta pemantauan kemajuan secara rapi dan berterusan, membolehkan sebarang isu dikenal pasti lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 3 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Tun Muktahir, Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir. Ibrahim Esa; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Menurut Ahmad, sehingga 30 Julai lalu, sebanyak 2,433 projek fizikal pembinaan dengan kos keseluruhan RM133.89 bilion telah diamanahkan kepada JKR Malaysia selaku agensi teknikal negara.

“Daripada jumlah itu, 871 projek atau 35 peratus berada dalam fasa pembinaan, manakala 1,050 projek atau 43 peratus berada pada peringkat pra-pembinaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

182
Kongsi :
Previous post LIMA KENDURI RAKYAT WARNAI WRUR AYER LIMAU