Tiada isu RTB terbengkalai di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BATU 9 Mac – Tiada projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Melaka yang terbengkalai dalam tempoh yang panjang sebaliknya pembinaan projek terbabit sedang berjalan bagi disiapkan untuk menangani isu banjir.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, semua perkara membabitkan RTB di negeri ini sudah diluluskan dan pihaknya tidak menerima maklumat mengenai RTB yang terbengkalai.

“Semua perkara mengenai RTB sudah lulus dan saya tidak tahu mana yang terbengkalai. Bagi RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau, RTB Alor Gajah Fasa I dan RTB Sungai Duyong semuanya sedang berjalan sekarang ini.

“Jadi yang dikatakan enam tahun tertangguh ini kalau itu (dikatakan) semua sedang berjalan. Buat masa ini tiada sebarang isu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu rakyat pada Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Peringkat DUN Pengkalan Batu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Wira Zaidi Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Kalsom Noordin, di Kompleks Japerun Pengakalan Batu, di Bachang, hari ini.

photo_2023-03-09_13-50-30
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengadakan sidang akhbar selepas program Hari Bertemu Rakyat DUN Pengkalan Batu Bersama YAB Ketua Menteri di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, Jalan Bachang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sulaiman berkata, namun beberapa perkara perlu diselesaikan antara Melaka dengan Kerajaan Negeri Johor berhubung masalah limpahan air Sungai Kesang yang membabitkan dua buah negeri apabila cuaca hujan.

“Kita ada perkara harus diselesaikan antara Melaka dan negeri Johor, malah melalui pejabat SUK juga sudah berhubung dengan Exco Johor berkaitan bagaimana pekara ini boleh diselesaikan dan akhirnya RTB di kawasan kini dapat dijalankan.

“Cuma masalah air sungai yang mengalir ini melibatkan dua buah negeri, kita perlu selesaikan dengan negeri jiran dan kalau ia dapat diselesaikan maka RTB yang kita sedang laksanakan akan berjalan lebih lancar lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Peringkat DUN Pengkalan Batu merupakan jelajah ketiga selepas Lendu dan Serkam, yang mana ia adalah platform terbaik untuk beliau berkomunikasi secara bersemuka dengan rakyat.

“Saya sejak pagi sebanyak 150 aduan diterima daripada penduduk dan saya sendiri mengambil serta cuba selesaikan 35. 35 aduan ini membabitkan pelbagai masalah termasuklah rumah, kawasan perumahan serta atap bocor.

“Hari ini juga terdapat pengarah agensi dan saya terus panggil jabatan berkenaan untuk diselesaikan segera masalah yang dihadapi malah ada juga yang berikan tempoh bergantung kepada kes tetapi saya maklumkan perlu selesaikan dalam tempoh kurang daripada sebulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1266
Kongsi :
Previous post Penganjur bazar Aidilfitri Klebang perlu dapat khidmat nasihat Adun Klebang – Exco
Next post 1,742 aduan diterima menerusi Aduan Suri
Ubah saiz-+=