Penganjur bazar Aidilfitri Klebang perlu dapat khidmat nasihat Adun Klebang – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

JASIN 9 Mac – Penganjur bazar Aidilfitri Klebang perlu mendapatkan khidmat nasihat mengenai penganjuran bazar tersebut secara keseluruhan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan mengenai penganjuran bazar Aidilfitri Klebang diadakan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

Katanya, Adun kawasan juga perlu memainkan peranan supaya kedua-dua penganjur yang dipilih dapat melaksanakan bazar terbabit tanpa isu berbangkit.

“Isu mengenai bazar Aidilfitri Klebang ini, menerusi mesyuarat Exco semalam telah mendapat kata putus, kita minta Adun kawasan untuk memainkan peranan dan penganjur juga perlu mendapat khidmat nasihat daripada Adun kawasan untuk meluluskan jumlah peniaga yang dibenarkan meniaga.

“Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), kita letakkan kepercayaan untuk Adun kawasan memberi kelegaan kepada peniaga dan selesaikan isu bantahan penduduk dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Back To School di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Lipat Kajang, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata mengenai isu bantahan penduduk akan diselesaikan oleh Adun Klebang, Datuk Lim Ban Hong dalam tempoh segera.

Jelasnya, isu tersebut akan diselesaikan segera sebagai usaha ‘menang-menang’ untuk semua pihak sebelum lesen penganjuran bazar Aidilfitri Klebang di keluarkan.

“Kita letak kepercayaan kepada Adun Klebang, Datuk Lim Ban Hong, untuk menyelesaikan isu berbangkit seperti bantahan penduduk Taman Klebang Utama, isu pemilik bangunan dan pelbagai isu lain yang terkait dalam penganjuran bazar Aidilfitri Klebang sebelum kita keluarkan lesen penganjuran tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2315
Kongsi :
Previous post 110 pelajar terima sumbangan ‘Back To School’ MPJ
Next post Tiada isu RTB terbengkalai di Melaka
Ubah saiz-+=