2.2 peratus penjawat awam belum daftar untuk vaksin

0
312
Gambar hiasan.

PORT DICKSON 29 Ogos – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi fokus terhadap 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat 19 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

“Selepas kita buat pemadanan data di aplikasi MySejahtera dengan data penjawat awam, kita dapati daripada lebih sejuta penjawat awam, cuma 2.2 peratus yang kita tak dapat kesan mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan vaksin.

“Jadi kita akan sentiasa melihat dan cuba meningkatkan lagi peratusannya. Ini kerana bila mana lebih banyak sektor perkhidmatan dibuka, mereka kena hadir ke pejabat…kehadiran ke pejabat wajib walaupun suntikan vaksin belum lagi diwajibkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kira-kira 400 masyarakat India di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adib berkata, setakat 19 Ogos lalu, 74 peratus penjawat awam di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 manakala 17.8 peratus lagi menerima satu dos.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta Kementerian Kesihatan untuk menyegerakan pemvaksinan kepada 30,000 penjawat awam yang masih belum ada tarikh janji temu sebelum pembukaan semua sektor ekonomi di negara ini.

“Ini kerana kalau kita nak buka sektor ekonomi, perkhidmatan kerajaan perlu dibuka terlebih dahulu, jadi kita harap yang belum ada janji temu segera divaksinkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penjawat awam yang belum mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk berbuat demikian sekali gus memastikan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata, semua penjawat awam kini telah bersedia untuk kembali ke pejabat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekali gus mengembalikan semula ekonomi negara seperti sedia kala.

“Bagi mereka yang bekerja dari rumah pula, kita sarankan untuk sentiasa mengekalkan produktiviti, malah perlu jadi lebih baik biarpun berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah capaian internet,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.