Sorting by

×

20 tahun tinggal di pondok, Johari dapat ‘syurga’ baharu

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

TABOH NANING 31 Januari – Hampir 20 tahun tinggal di sebuah pondok , saudara mualaf dari Kampung Orang Asli Bukit Payung, Johari Sudah, 49 menerima mahligai baharu bernilai RM30,000.

Menurut Johari, dia berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Payung, Mohd Irwan Redzuan Abdullah yang membantunya mendapatkan syurga baharu yang dibina di atas tanah miliknya sendiri.

Johari yang mengalami kelainan upaya (OKU) fizikal pada kaki kanannya menyifatkan rumah itu sebagai hadiah istimewa selepas memeluk agama Islam.

“Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri, MAIM, dan JPKK yang membantu perjalanan saya untuk menerima rumah baharu.

“Seronok sangat terima rumah baharu, saya sudah tidak perlu takut jika hujan, ribut dan tidur dalam keadaan takut, kerana sebelum ini sekiranya hujan pasti saya perlu tidur dalam keadaan ketakutan,” katanya ketika ditemui pada Program Cakna Ummah Masyarakat Orang Asli Bukit Payung di sini, hari ini.

Terdahulu, Johari menerima replika kunci rumah baharu itu daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Untuk rekod, rumah pemberian MAIM itu bernilai RM30,000 dengan keluasan 300 kaki persegi (15×20) merangkumi satu bilik tidur, satu bilik air dan tandas, satu dapur, ruang tamu dan satu ruang beranda.

Rumah tersebut mula dibina pada 25 September 2022 dan siap sepenuhnya pada 15 Januari lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5146
Kongsi :
Previous post Kelas KAFA untuk anak Orang Asli akan dibuka tahun ini – KM
Next post JAKOA rangka program tingkat taraf hidup Orang Asli
Ubah saiz-+=