Sorting by

×

Kelas KAFA untuk anak Orang Asli akan dibuka tahun ini – KM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TABOH NANING 31 Januari – Perkampungan Orang Asli Bukit Payung, di sini, bakal menjadi perkampungan masyarakat Orang Asli pertama di Melaka yang diadakan Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kelas berkenaan sangat bersesuaian memandang daripada 147 keluarga masyarakat Orang Asli di perkampungan itu terdapat 55 daripadanya beragama Islam.

“Saya telah pun minta pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk mempercepatkan kelas KAFA itu, mungkin dalam tahun ini juga.

“Ini kerana, bangunannya sudah ada, cuma minta pihak berwajib untuk mengatur kelas terbabit, di sebelah petang, bagi memberi pendidikan awal kepada anak-anak masyarakat Orang Asli beragama Islam untuk mendalami ilmu agama.

“Seelok-eloknya kelas KAFA itu kita boleh mulakan dengan satu atau dua kelas dahulu, mulakan dengan tahun pertama dan pelajarnya tidak mengira umur kerana yang penting adalah ilmu asas diajar kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Cakna Ummah Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Payung, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Timbalan Mufti Negeri Hazarudin Baharudin dan Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat.

photo1675161098
Bangunan yang akan dijadikan kelas pengajian KAFA buat masyarakat Orang Asli yang beragama Islam di Kampung Bukit Payung. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, Zulkiflee dalam ucapannya pada program itu meminta Kerajaan Negeri menerusi JAIM untuk menghantar guru bagi mengajar kelas KAFA di perkampungan terbabit.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mewartakan kawasan Orang Asli Islam dalam perkampungan terbabit dan membuka kelas KAFA untuk mengajar asas agama Islam kepada mereka.

“Impian masyarakat di sini adalah untuk membuka Kelas KAFA dan kalau diizinkan kita juga minta pihak JAKOA untuk warta kawasan penduduk beragama Islam dan setidak-tidaknya cara kehidupan orang Islam dapat diamalkan di kawasan terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2260
Kongsi :
Previous post Pelancong terkejut Melaka sejuk
Next post 20 tahun tinggal di pondok, Johari dapat ‘syurga’ baharu
Ubah saiz-+=