23 permohonan tukar nama bayi di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka menerima 23 permohonan bagi mengubah nama kanak-kanak berusia bawah umur 12 bulan pada tahun ini.

Pengarahnya, Norazlee Sulaiman berkata permohonan berkenaan membabitkan Seksyen 15(1) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299)(2016).
Katanya, sementara itu sepanjang tahun lalu pihaknya merekodkan sebanyak 24 permohonan bagi tujuan sama.

“Berkaitan permohonan pembetulan, ramai pemohon mendakwa nama yang diberi kepada bayi bermasalah, seperti nama itu terlalu ‘berat’, sering menerima musibah dan pelbagai lagi sebab.

“Kami di JPN Melaka, mengawal isu begini, ada situasi membolehkan pemohon menukar atau melakukan pembetulan, namun ia berdasarkan peruntukan dan undang-undang tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka Tahun 2023 di Laman Mekar Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Norazlee berkata antara nama-nama yang tidak dibenarkan melibatkan gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan, pangkat atau jawatan serta gelaran keturunan yang tiada susur galur.

“Selain itu turut tidak dibenarkan adalah nama-nama kepahlawanan, membawa maksud lucah dan buruk (atau) nama yang membawa maksud tidak baik dalam bahasa lain serta nama perhiasan atau pakaian atau peralatan.

“Walaupun dalam satu konteks hak itu adalah milik semua orang, namun JPN mempunyai garis panduan dan ia bukan untuk umat Islam sahaja tetapi semua, bahkan dalam soal nasab kita kawal juga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3801
Kongsi :
Previous post Wanita melecur tahap tiga dibakar suami
Next post Kes ‘ic palsu’ meningkat di Melaka
Ubah saiz-+=