Wanita melecur tahap tiga dibakar suami

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KEPALA BATAS, 1 Ogos – Seorang wanita melecur tahap tiga dipercayai dibakar suaminya menggunakan petrol, dalam kejadian perselisihan faham di rumah mereka di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie berkata pihaknya, menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.45 malam daripada jiran mangsa, sebelum sepasukan polis terus ke lokasi, namun mangsa yang berusia 35 tahun, telah dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang bekerja di ladang kelapa sawit itu, mempunyai empat orang anak berusia 10 hingga 13 tahun dan semasa kejadian, anak-anak mereka berada di rumah yang disediakan majikan mereka di ladang tersebut.

“Menurut anak lelaki pasangan itu yang berusia 13 tahun, kejadian pergaduhan tersebut berlaku kira-kira 9.30 malam dan dia bersama adik-adiknya berada di dalam bilik mereka sebelum terdengar ayah serta ibunya bergaduh.

“Kanak-kanak itu cuba keluar dari bilik, namun pintu bilik mereka diselak luar dan cuba menariknya sebelum berjaya membuka (pintu), dia nampak ibunya berada di bahagian belakang luar rumah dalam keadaan badan telah terbakar, sebelum cuba memadamkan dengan kain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Asri berkata api menjadi semakin besar dan suspek yang berada di dalam rumah ketika itu bertindak melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di situ, manakala anak lelakinya mengambil air dari bilik air berdekatan bagi memadamkan api pada badan ibunya.

Mohd Asri berkata anak lelaki mangsa meminta bantuan jiran berdekatan dan mereka yang datang kemudiannya membantu mengubungi pihak polis dan hospital, sebelum mangsa terus dihantar ke hospital oleh ambulans.

Beliau berkata pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan menemui botol berisi minyak disyaki petrol, pemetik api, pelapik kaki berbau minyak petrol, rambut serta sisa kebakaran.

“Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mengesan suami wanita itu yang berusia 36 tahun yang telah melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di situ.

“Suspek turut mempunyai empat rekod lampau termasuk mencederakan isterinya,” katanya kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

Mohd Asri berkata hasil pemeriksaan pegawai perubatan di HKB mendapati, wanita itu mengalami kecederaan melecur lebih 27 peratus dan mangsa telah dihanatr ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini keterangan mangsa tidak dapat dirakam kerana masih dalam rawatan,” katanya dan menambah kes itu, disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4761
Kongsi :
Previous post Gred hotel Melaka turun jika gagal beri perkhidmatan terbaik
Next post 23 permohonan tukar nama bayi di Melaka
Ubah saiz-+=