Kes ‘ic palsu’ meningkat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Melaka mencatatkan peningkatan 100 peratus kes tangkapan dan pendakwaan melibatkan kad pengenalan palsu setakat Januari hingga Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazlee Sulaiman berkata peratusan terbabit melibatkan 10 kes direkodkan pada tahun ini berbanding lima kes pada tahun lalu.

Katanya, daripada 10 kes pada tahun ini, tujuh kes melibatkan maklumat palsu ketika membuat kad pengenalan manakala tiga kes lagi membabitkan penggunaan nama milik orang lain pada kad pengenalan.

“Kes kad pengenalan palsu ini membabitkan warganegara Filipina, Indonesia dan India dan ada daripada pemegang kad pengenalan palsu telah menggunakan identiti palsu tersebut sehingga 20 tahun.

“Kes 20 tahun paling lama yang dikesan JPN melibatkan seorang lelaki warganegara India yang memiliki kad pengenalan palsu serta menggunakan identiti palsu bermastautin di negara ini dan telah berkahwin dengan warganegara serta mempunyai tiga orang anak dari hasil perkahwinan tersebut.

“Lelaki tersebut bekerja sebagai penjual cendol di luar Melaka dan telah ditangkap ketika mahu membuka akaun bank di Melaka dan dari situ terbongkar semua kepalsuan dan dia telah dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan bermula April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka Tahun 2023 di Laman Mekar Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.

Program terbabit telah dirasmikan oleh Exco Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin.

Mengulas lanjut, Norazlee tidak menafikan sekiranya wujud sindiket yang menjalankan kerja-kerja menjual kad pengenalan palsu di negeri ini.

“Berdasarkan maklumat mereka membeli kad pengenalan palsu ini dengan kadar harga serendah RM300 hingga RM3,500 untuk satu kad pengenalan.

“JPN Melaka komited untuk membasmi kes seumpama ini dari terus berlaku peningkatan dengan menjalin kerjasama erat bersama pihak berkuasa, pemimpin tempatan seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta orang awam untuk bersama-sama mengatasi isu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1274
Kongsi :
Previous post 23 permohonan tukar nama bayi di Melaka
Next post Melaka laksana 190 operasi kawal haiwan liar
Ubah saiz-+=