Sorting by

×

23 PUSAT JAGAAN, TASKA DIAMBIL TINDAKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 21 Julai – Sebanyak 23 pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak (taska) sekitar negeri ini dikenakan tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, enam tindakan diambil bagi penguatkuasaan terhadap pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar sepanjang 2020 hingga Jun 2025.

Kalsom berkata, tiga kesalahan melibatkan pendakwaan di mahkamah, dua lagi arahan tindakan lak (penutupan) dan satu lagi dikenakan kompaun.

“Sementara itu bagi penguatkuasaan ke atas taska sepanjang tempoh 2002 hingga Jun tahun ini, 11 tindakan lak dilaksakan, tiga kompauan dikeluarkan dan tiga lagi dirujuk ke mahkamah (pendakwaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai kes penderaan di pusat jagaan di Melaka pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, hari ini.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, sehingga kini sebanyak 136 taska di Melaka telah dipasang Plak Taska Berdaftar yang dilengkapi kod QR sekali gus membolehkan ibu bapa mendapat maklumat lanjut berhubung premis berkenaan dengan lebih mudah.

“Sehingga kini di Melaka terdapat 150 taska berdaftar dan JKM mengenal pasti 17 lagi belum berdaftar. Sementara itu daripada keseluruhan 136 pusat jagaan 19 premis tidak berdaftar.

“Susulan itu JKM kini dalam tindakan penguatkuasaan iaitu lak, kompaun dan pendakwaan selain turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai langkah proaktif dalam mengenal pasti taska dan pusat jagaan tidak berdaftar,” katanya.

Jelasnya, Kursus Asuhan PERMATA turut dilaksanakan bagi memberi panduan kepada pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh taska selaras dengan Akta dan Peraturan-Peraturan Taska yang berkuatkuasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI TELITI TUNTUTAN KONTRAKTOR BERHUBUNG PEMBATALAN PROJEK PEJABAT MBMB
Next post PEMBINAAN JATI DIRI MENERUSI PERTANDINGAN PENGISAHAN KENEGARAAN