26 DOKTOR VETERINAR TIMBA ILMU RAWAT HIDUPAN LIAR DI ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 5 September – Seramai 26 doktor veterinar dari dalam dan luar negara berkumpul di Zoo Melaka bagi memperkukuh kemahiran mengendalikan serta merawat hidupan liar menerusi Wildlife Anaesthesia Workshop 2026.

Daripada jumlah itu, 11 peserta merupakan doktor veterinar antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Vietnam, sekali gus menjadikan bengkel selama tiga hari itu sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang anestesia serta penjagaan klinikal hidupan liar.

Pengarah Urusan dan Pengasas Wildlife Pharmaceuticals, Dr Cobus Raath berkata, bengkel berkenaan dimulakan dengan sesi teori sebelum peserta menjalani latihan praktikal menerusi prosedur pengendalian beberapa spesies haiwan.

Menurutnya, pendekatan berkenaan membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari secara langsung dalam situasi sebenar, selain memperoleh pengalaman mengendalikan haiwan dengan kaedah yang selamat.

“Ini merupakan tiga hari yang sangat aktif. Hari pertama melibatkan semua teori, manakala dua hari seterusnya adalah aplikasi teori tersebut.

“Kami bermula dengan zebra dan melakukan imobilisasi terhadap beberapa ekor zebra,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Wildlife Anaesthesia Workshop 2026 di Zoo Melaka, di sini, hari ini.

Dr Cobus berkata, latihan praktikal turut melibatkan prosedur terhadap orang utan dan beberapa spesies lain yang memerlukan rawatan klinikal.

“Doktor veterinar dan penjaga haiwan mendapat pengalaman, manakala haiwan pula menerima penjagaan serta rawatan yang diperlukan.

“Jadi, semua pihak mendapat manfaat daripada program seperti ini,” katanya.

Menurutnya, perkembangan dalam bidang anestesia hidupan liar juga semakin pesat sejak beliau mula berkecimpung dalam bidang berkenaan kira-kira 40 tahun lalu, khususnya dari segi pilihan ubat dan kaedah pengendalian haiwan.

“Ketika saya mula terlibat dalam bidang anestesia hidupan liar kira-kira 40 tahun lalu, pilihan ubat untuk menenangkan dan mengawal pergerakan haiwan masih terhad berbanding hari ini.

“Sejak itu, semakin banyak ubat dan kaedah baharu dibangunkan bagi membolehkan haiwan dikendalikan dengan lebih selamat, selain membantu doktor veterinar mengurus dan merawat hidupan liar dengan lebih baik,” katanya.

Jelasnya, perkembangan berkenaan menjadikan latihan dan perkongsian kepakaran penting bagi memastikan doktor veterinar sentiasa mengikuti kaedah serta teknologi terkini dalam pengurusan hidupan liar.

“Sebab itulah bengkel seperti ini penting untuk memastikan doktor veterinar mengetahui produk dan teknik baharu yang boleh digunakan bagi meningkatkan keselamatan dalam pengurusan hidupan liar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post MELAKA NEGERI KECIL, TAPI JADI PILIHAN INDUSTRI BERNILAI TINGGI
Next post ANAK MUDA MELAKA PUJI KEPIMPINAN TOK RAUF, SEDIA JADI RAKAN STRATEGIK