
ANAK MUDA MELAKA PUJI KEPIMPINAN TOK RAUF, SEDIA JADI RAKAN STRATEGIK
AYER KEROH 5 September – Golongan anak muda menyifatkan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai terbaik kerana telah memberi ruang dan peluang lebih luas kepada belia di negeri ini.
Pandangan itu disuarakan peserta Town Hall Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, yang turut menyatakan kesediaan menjadi sebahagian rakan strategik dalam pembangunan negeri.
A Shaarmini, 25, berkata, pendekatan Kerajaan Negeri menyediakan ruang kepada anak muda untuk bersuara membuktikan golongan berkenaan diberi perhatian dalam agenda pembangunan negeri.
Anak jati Bemban, Jasin itu berkata, program itu bukan sahaja membuka ruang untuk anak muda berinteraksi dengan pemimpin nombor satu negeri, bahkan pada masa sama turut membuka pintu untuk menyumbang idea dan tenaga kepada pembangunan Melaka.
“Saya rasa objektif program ini tercapai kerana kita dapat menyuarakan pandangan dan mendapat jawapan secara terus. Kita berpuas hati dan gembira dapat berada di sini.
“Bagi saya, kepimpinan Ketua Menteri memang sangat terbaik. Kita boleh lihat kemajuan yang dibawa. Bukan sahaja anak muda, anak Melaka memang terjaga. Saya rasa Melaka memang maju di bawah kepimpinan beliau,” katanya yang juga seorang guru kepada pemberita selepas sesi Town Hall tersebut.

Sementara itu, Muhammad Nazarul Syah Mehat, 22, dari Ayer Molek, berkata, kepimpinan Ab Rauf dilihat memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat termasuk menyediakan pelbagai program dan peluang kepada golongan muda.
Katanya, anak muda perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi memastikan mereka dapat membina masa depan yang lebih baik di negeri sendiri.
“Kami tidak akan lupa jasa Ketua Menteri yang sentiasa menjaga rakyat dan memastikan aspek kebajikan terbela. Kami sangat menghargai jasa dan segala pengorbanan serta penat lelah beliau dalam memimpin Kerajaan Negeri Melaka dan mengiktiraf peranan anak muda,” katanya.
Dia turut berharap kepimpinan Ab Rauf dapat diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan dan pemerkasaan anak muda terus diberi perhatian.

Dalam pada itu, pelajar jurusan Safety and Health Melaka International College of Science and Technology (MiCoST), Siti Nur Zuhairah Syamsul Azhar, 18, berkata, peluang pendidikan dan pekerjaan yang tersedia di Melaka memberi keyakinan kepada golongan muda untuk membina masa depan di negeri sendiri.
Katanya, program town hall turut memberi ruang kepada anak muda mendapatkan penjelasan secara terus berkaitan hala tuju pendidikan dan kerjaya.
“Program ini semuanya bagus sebab kita sebagai anak muda dapat suarakan pendapat dan bertanya bagaimana kita nak teruskan kehidupan selepas tamat pengajian dan Ketua Menteri sendiri telah berkongsi pelbagai peluang yang disediakan untuk dimanfaatkan generasi muda di negeri ini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


