‘HARAP DAPAT HELMET, TAK SANGKA MENANG MOTOSIKAL’

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 5 September – Hasrat seorang penggiat p-hailing dari Tanjung Bidara untuk mendapatkan topi keledar eksklusif edisi terhad bertukar rezeki tidak disangka-sangka apabila diumum sebagai antara tujuh pemenang hadiah utama sebuah motosikal menerusi cabutan bertuah.

Muhammad Noor Ashraf Roslan, 30, yang sudah tiga tahun menjadi penghantar makanan mengakui terkejut dan sukar mempercayai apabila namanya diumum sebagai pemenang hadiah motosikal ketika menyertai himpunan p-hailing sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026.

“Sebenarnya, saya tengah beratur, tak sangka nama saya naik untuk cabutan bertuah. Saya sangka dapat helmet, tapi tak sangka akan menang motosikal. Ini memang rezeki untuk saya.

“Insya-Allah motosikal ini akan saya simpan sebaiknya kerana ketika ini saya sudah mempunyai motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Noor Ashraf turut memuji pendekatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang disifatkannya dekat dengan rakyat, khususnya golongan muda.

“Saya memang mengikuti Tok Rauf dari dulu kerana saya suka cara beliau memimpin dan sangat rapat dengan anak muda.

“Saya berharap kepimpinan seperti ini dapat diteruskan dalam memastikan Melaka terus maju dan lebih membangun pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

763
Kongsi :
Previous post ANAK MUDA MELAKA PUJI KEPIMPINAN TOK RAUF, SEDIA JADI RAKAN STRATEGIK
Next post TANJUNG BIDARA KAYA DENGAN TARIKAN, KEMUDAHAN PACU PELANCONGAN