
MELAKA NEGERI KECIL, TAPI JADI PILIHAN INDUSTRI BERNILAI TINGGI
AYER KEROH 5 September – Melaka membuktikan negeri kecil ini bukan ‘biasa-biasa’ apabila sudah terbukti menjadi pilihan industri bernilai tinggi dalam sektor teknologi, pembuatan, aeroangkasa dan ekonomi digital.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan itu menjadikan Melaka mempunyai kelebihan tersendiri sebagai destinasi pelaburan, termasuk kedudukan strategik, ekosistem industri serta tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan sektor berteknologi tinggi.
Menurut beliau, antara kekuatan Melaka ialah kewujudan industri antarabangsa yang telah bertapak sejak puluhan tahun, termasuk syarikat dari Jerman yang sudah beroperasi di negeri ini selama 52 tahun.
Katanya, kewujudan syarikat berkenaan turut melahirkan tenaga kerja tempatan yang berpengalaman sehingga terdapat generasi ketiga dalam sesebuah keluarga yang bekerja di industri sama.
“Atas keyakinan pelabur dan kejayaan industri berkenaan, Kerajaan Negeri telah membangunkan Taman Teknologi Jerman (GTP) dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Townhall Bersama Anak Muda sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Tidak hanya itu, Ketua Menteri berkata, Melaka juga turut menjadi lokasi kilang cermin ketiga terbesar dunia di Jasin, selain kilang antarabangsa yang menghasilkan mikrocip untuk passport dan kad pengenalan bagi 40 buah negara.
“Malah, Melaka juga menjadi negeri lahirnya beg tangan berjenama, selain menjadi lokasi penghasilan lampu untuk kereta-kereta mewah di seluruh dunia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata Melaka bakal memperkukuh lagi kedudukan sebagai hab industri berteknologi tinggi menerusi pembangunan hab helikopter terbesar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) mulai tahun depan.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka menjadi hab penyelenggaraan dan pembaikan helikopter pertama di rantau ini dengan nilai pelaburan mencecah RM17 bilion.
“Pada masa sama, Melaka juga bakal mempunyai lima pusat data yang akan menambah lagi kepelbagaian sektor pelaburan berasaskan teknologi dan ekonomi digital,” tambahnya.
Katanya, kemasukan industri bernilai tinggi itu bukan sahaja meningkatkan kedudukan ekonomi Melaka, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda tempatan.
“Kalau saya bawa misi pelaburan, saya bawa untuk anda. Peluang pekerjaan ini sudah terbuka dan ia menjadi pintu untuk anak muda berkarya dan memilih,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


