28 mangsa banjir Melaka Tengah masih di PPS

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Seramai 28 mangsa banjir di daerah Melaka Tengah masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa daripada tiga buah keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Japerun Pantai Kundor yang dibuka pada jam 9 pagi tadi.

Kata kenyataan itu, hujan lebat yang berlarutan sejak tengah malam tadi mengakibatkan 27 kawasan di daerah Melaka Tengah terjejas banjir dan antara lokasi paling terjejas ialah di Kampung Bukit Berlian, Bukit Rambai.

“Antara kawasan turut terjejas ialah di Kampung Pengkalan Rama, Taman Elok, Taman Panglima, Taman Bukit Serindit, Kampung Pengkalan Rama Tengah, Kampung Air Leleh, Rumah Awam Bandar Hilir, Banda Kaba, Limbongan dan Kampung Kolam.

“Kawasan lain turut terlibat banjir ialah Balai Panjang, Taman Pandan Jaya, Kampung Padang, Lorong Manggis, Pantai Kundur, Paya Rumput, Bukit Saleh, Paya Luboh, Kampung Telok Mas, Ujong Pasir, Taman Alai Perdana, Pernu, Klebang Kecil, Pulau Gadong, Pokok Mangga dan Seberang Gajah,” kata kenyataan itu.

Sekretariat itu memaklumkan, pihaknya akan terus melakukan pemantauan daripada semasa ke semasa bagi menghadapi segala kemungkinan banjir kilat di negeri ini.

Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7149
Kongsi :
Previous post Sukan untuk anak muda Telok Mas
Next post SWCorp kesan 40 lokasi sampah haram
Ubah saiz-+=