30 pekerja asing makan biskut akibat terputus bekalan makanan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Ogos – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah hari ini membuat penghantaran segera bahan makanan untuk 30 pekerja asing di tapak pembinaan perumahan berhampiran Taman Makmur, di sini, kerana terputus bekalan makanan sejak dua hari lalu.

Ia bagi membantu mereka memperoleh bahan makanan selepas terputus bekalan makanan akibat ketiadaan wang untuk berbelanja.

Walaupun mereka menerima pinjaman RM100 seorang daripada majikan sejak Jun lalu, ia tidak cukup untuk menampung keperluan harian sedangkan sudah dua bulan mereka tidak bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan 1 Jun lalu.

Seorang pekerja Indonesia yang ingin dikenali sebagai Herman berusia 40-an berkata, majikan mereka bukan pemaju projek perumahan, sebaliknya hanya subkontraktor.

“Bos (majikan) ada beri kami pinjaman RM100 seorang sejak Jun lalu dan dengan wang itulah kami membeli barang makan.

“Bagaimanapun, sejak dua hari lalu kami kehabisan beras dan barang makanan yang lain, jadi kami terpaksa makan biskut dan mi segera,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan perumahan itu berhampiran Taman Makmur, di sini.

Dia berkata, mereka tinggal di rumah kongsi di kawasan pembinaan itu sejak beberapa bulan lalu dan tidak menghadapi masalah pembayaran gaji semasa dibenarkan bekerja.

Bagaimanapun, sejak PKP 3.0 dimulakan awal Jun lalu, majikan memberikan cuti tanpa gaji tetapi mereka bernasib baik kerana disediakan pinjaman seumpama itu, katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, situasi pekerja asing
terbabit disampaikan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang hanya dikenali sebagai Mahathir kepadanya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah selepas mendapati mereka terputus bekalan makanan.

“Saya meminta petugas di pejabat ini segera menghantar bahan makanan, terutama beras, gula, tepung, kopi, telur, minyak masak dan seumpamanya kepada pekerja terbabit.

“Mereka pun manusia, apabila tiba soal kemanusiaan, kita harus butakan mata terhadap warna kulit, agama, bangsa, fahaman politik atau negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

775
Kongsi :
Previous post CAC Klinik Kesihatan Batu Berendam sesak
Next post Polis tubuh pasukan khas siasat kegiatan gensterisme di Ipoh
Ubah saiz-+=