Sorting by

×

32,000 PENGUNJUNG SERBU BANDA HILIR, NIKMATI SUASANA MELAKA BILA LARUT MALAM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 6 Mei – Lebih 32,000 pengunjung membanjiri lokasi tarikan pelancongan sekitar Banda Hilir sempena Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Mei, Sabtu lalu, sekali gus membuktikan inisiatif itu kini menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi komuniti setempat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, angka luar biasa itu adalah berdasarkan kepada rekod sistem pemantauan orang ramai (crowd monitoring) dipasang di lokasi strategik sekitar Banda Hilir.

“Jumlah 32,000 pengunjung ini bukan sekadar angka ia membuktikan bahawa program ini berjaya menarik orang ramai ke pusat bandar dan secara langsung menghidupkan semula aktiviti ekonomi tempatan. Untuk Ahad pula, sistem sama merekodkan seramai 18,000 orang pengunjung, kita akui ada berlaku penurunan, namun kita percaya ia dipengaruhi faktor sesi persekolahan yang bermula pada Isnin.

“Semua ini juga susulan kejayaan pelbagai acara yang berlangsung sepanjang hujung minggu sempena cuti Hari Pekerja, termasuk Program Malaysia Midnight Sale 2025 di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir, baru-baru ini.

“Menerusi acara itu pada Jumaat (2 Mei) sahaja, nilai perbelanjaan pengunjung yang menebus hadiah mencecah lebih RM500,000, ini belum termasuk pembelian tanpa tuntutan hadiah dijangka jauh lebih tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Shadan berkata Program Melaka Bila Larut Malam bukan sekadar hiburan semata-mata, ia berfungsi sebagai pemangkin ekonomi, menyatukan komuniti dan memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan tambahan.

“Elemen hiburan dalam program ini hanyalah selingan bagi menarik kehadiran orang ramai dan bukan objektif utama. Kalau tiada suasana dan aktiviti, orang tidak datang, kurang pengunjung bagaimana ekonomi mahu bergerak.

“Rata-rata peniaga yang ditemui berkongsi kegembiraan dan menyatakan rasa syukur kerana hasil jualan meningkat. Malah, lokasi popular seperti ‘Melaka River Cruise’ dan Menara Taming Sari turut merekodkan lonjakan pendapatan sepanjang hujung minggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post REMPUH PALANG TOL, PANDU HILUX LAWAN ARUS KETIKA CUBA LOLOS DARIPADA POLIS
Next post CIDB MELAKA REKOD 1,578 PROJEK BERNILAI RM3.6 BILION SETAKAT MEI