TANJUNG BIDARA JADI PENTAS SENI, BUDAYA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TANJUNG BIDARA 20 September – Tanjung Bidara menjadi pentas seni dan budaya menerusi penganjuran Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 18  September lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran festival berkenaan menjadi platform untuk mengetengahkan keindahan budaya dan kehalusan seni warisan bangsa kepada masyarakat, selain menghidupkan suasana di kawasan pesisir Tanjung Bidara.

“Lebih membanggakan, tahun ini Festival Seni Selat Melaka menghimpunkan 350 penggiat seni serta hampir 1,000 sukarelawan penari yang memeriahkan festival kebudayaan di sini.

“Apatah lagi, memasuki edisi keempat penganjurannya, festival ini tampil dengan lebih 50 program dan pengisian seni serta budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, festival berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dalam memperkukuh penganjuran seni dan budaya di negeri ini.

Katanya, selain pengisian seni dan budaya, Pesta Pantai Tanjung Bidara turut menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung termasuk Karnival Kerjaya, Program Tukar Minyak Percuma, perkhidmatan bot, jetski dan sukan pantai secara percuma.

“Sepanjang penganjuran Pesta Pantai dan Festival ini berlangsung, kita menyasarkan 40,000 pengunjung akan membanjiri Pantai Tanjung Bidara.

“Kehadiran ini tentunya membawa limpahan rezeki kepada peniaga, pengusaha makanan, penyedia penginapan dan komuniti setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post WRUR: TERIMA KASIH BERSAMA SAYA UBAH CARA KERAJAAN DEKATI RAKYAT