
WRUR: TERIMA KASIH BERSAMA SAYA UBAH CARA KERAJAAN DEKATI RAKYAT
TANJUNG BIDARA 20 September – Kejayaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjelajah kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merupakan hasil komitmen seluruh jentera Kerajaan Negeri yang bekerja siang dan malam bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen seluruh barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), pegawai daerah, ketua jabatan dan agensi serta jentera kerajaan wajar dihargai kerana mereka menjadi penggerak utama sepanjang perjalanan WRUR.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan Exco, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan dan agensi serta seluruh jentera yang tidak mungkin saya sebutkan satu demi satu.
“Namun, jauh dari sudut hati saya amat menghargai komitmen saudara saudari yang bekerja siang dan malam menjayakan perjalanan WRUR di kesemua 28 DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, pelaksanaan WRUR bukan sekadar memperlihatkan komitmen jentera kerajaan turun padang, malah menjadi sebahagian daripada usaha mengubah pendekatan kerajaan dalam mendekati dan memahami keperluan rakyat.
“Terima kasih kerana bersama-sama saya menjayakan WRUR, sekali gus sama-sama kita mengubah cara kerajaan mendekati rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Melaka di kesemua 28 DUN yang menyambut baik pelaksanaan WRUR serta memberikan ruang kepada jentera kerajaan untuk turun padang dan mendengar sendiri permasalahan mereka.
“Terima kasih kerana membuka pintu kepada kami dan terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kerajaan untuk terus memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

