PINTU KERAJAAN, TELINGA KEPIMPINAN MELAKA TIDAK PERNAH DITUTUP

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG BIDARA 20 September – Perjalanan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang merentasi kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka melabuhkan tirai malam ini, namun pintu Kerajaan Negeri kepada rakyat akan terus terbuka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penutupan WRUR hanya menandakan berakhirnya program berkenaan, bukannya menutup ruang rakyat untuk mendapatkan perhatian, menyuarakan permasalahan atau mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

“Kini, perjalanan WRUR merentasi 28 DUN menemui titik noktahnya. Tetapi saya mahu kita semua pulang dengan satu kefahaman.

“Yang kita tutup hanyalah programnya, bukan pintu kerajaan, bukan telinga kepimpinan dan bukan tanggungjawab kita kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pendekatan mendekati rakyat yang diterapkan menerusi WRUR perlu terus menjadi asas dalam pentadbiran negeri, selagi kepercayaan rakyat menjadi akar kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Insya-Allah, selagi pohon pentadbiran ini terus berakar pada kepercayaan rakyat, selagi itulah saya dan barisan kepimpinan akan terus membaja kebajikan, merimbunkan pembangunan dan memayungi kehidupan rakyat Melaka dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata, penutupan WRUR tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran kepada usaha Kerajaan Negeri turun padang, sebaliknya menjadi kesinambungan kepada tanggungjawab untuk terus mendengar, menyantuni dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

637
Kongsi :
Previous post WRUR: RAKYAT MELAKA PUAS HATI KONSEP WAKIL RAKYAT TURUN PADANG