
WRUR: RAKYAT MELAKA PUAS HATI KONSEP WAKIL RAKYAT TURUN PADANG
TANJUNG BIDARA 20 September – Pendekatan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang membawa wakil rakyat dan jentera Kerajaan Negeri turun padang ke setiap kawasan mendapat sambutan positif apabila rakyat Melaka dilihat berpuas hati dengan usaha berkenaan dalam menyelesaikan permasalahan mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu dapat dilihat selepas WRUR selesai menjelajah kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan lebih 5,000 aduan rakyat diterima dan lebih 73 peratus daripadanya telah diselesaikan.
“Selepas 28 DUN kita dapat melihat bahawa rakyat amat berpuas hati dalam konsep wakil rakyat turun padang ini.
“Kita lihat WRUR ini amat berkesan untuk menyantuni rakyat di setiap kawasan yang kita turun, di samping mendapatkan pandangan yang diberikan oleh rakyat dalam memperkasakan perkhidmatan kerajaan dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, sejak dua tahun pelaksanaan WRUR di kesemua 28 DUN lebih 100,000 rakyat telah disantuni, sekali gus memperlihatkan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan turun padang yang dilaksanakan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus berusaha mendekati rakyat secara langsung bagi memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan dapat diberi perhatian dan diselesaikan berdasarkan keutamaan serta tahap permasalahan.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya untuk mengetuk pintu rumah rakyat dalam menyantuni segala permasalahan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


