MELAKA PERKUKUH HUBUNGAN, BELA KEBAJIKAN WARGA GERAK KHAS

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 20 September – Kebajikan anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) dan keluarga mereka terus diperkukuh menerusi peruntukan khas RM80,000 yang disalurkan Kerajaan Negeri sempena Sambutan Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas Tahun 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu disalurkan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan warga pasukan keselamatan yang berkhidmat dan menetap di Melaka.

Katanya, pemberian itu turut disegerakan pada hari sambutan berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada anggota RGK dan keluarga mereka.

“Kita mengumumkan peruntukan khas RM80,000 pada hari ini, kita bukan bagi esok, bukan lusa, kita bagi hari ini, iaitu Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas.

“Gunakanlah sebaik mungkin untuk kebajikan anggota dan keluarga Kem Sungai Udang ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas Tahun 2026 di Kem Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Kerajaan, Perumahan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahman Mariman serta Pengerusi Rejimen Gerak Khas Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.

Terdahulu, Ab Rauf turut diraikan anggota dan ahli keluarga RGK menerusi acara memotong kek sebelum mereka menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-20 September.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri mahu hubungan antara pentadbiran negeri dengan warga pasukan keselamatan terus diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih dekat dan tidak terlalu terikat dengan protokol.

Katanya, pendekatan itu membolehkan Kerajaan Negeri memahami dengan lebih dekat keperluan anggota tentera serta keluarga yang menetap di dalam kem.

“Pendekatan ini membolehkan Kerajaan Negeri lebih memahami dengan lebih dekat keperluan anggota tentera serta keluarga yang tinggal di dalam kem,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post MELAKA SALUR RM250,000 NAIK TARAF KEM GERAK KHAS SUNGAI UDANG
Next post HARI KELUARGA GERAK KHAS BAKAL JADI TRADISI TAHUNAN MELAKA