HARI KELUARGA GERAK KHAS BAKAL JADI TRADISI TAHUNAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI UDANG 20 September – Sambutan Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas (RGK) dicadangkan untuk dijadikan acara tahunan peringkat Jabatan Ketua Menteri bagi memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dengan anggota tentera serta keluarga mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan berkenaan penting dalam mewujudkan hubungan yang lebih dekat antara pentadbiran negeri dengan pasukan keselamatan menerusi interaksi secara langsung dalam suasana santai dan tanpa terlalu terikat dengan protokol.

Katanya, sambutan berkenaan bukan sekadar menjadi ruang untuk anggota dan keluarga meluangkan masa bersama, malah membuka peluang kepada Kerajaan Negeri untuk mendengar sendiri pandangan serta memahami keperluan warga RGK.

“Saya berjanji, jika diizinkan Allah SWT, kita akan kembali bersama-sama menguruskan perkara ini dan kita buat Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas bersama saya setiap tahun dan akan menjadi acara di peringkat Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas Tahun 2026 di Kem Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Kerajaan, Perumahan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahman Mariman serta Pengerusi Rejimen Gerak Khas Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, hubungan rapat antara Kerajaan Negeri dengan pasukan keselamatan amat penting dalam memastikan kedua-dua pihak dapat berkongsi pandangan dan bekerjasama dalam membantu masyarakat.

“Hubungan lebih rapat antara Kerajaan Negeri dan pasukan keselamatan khususnya Rejimen Gerak Khas ini penting.

“Ia sekali gus membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pandangan dalam usaha membantu masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKUKUH HUBUNGAN, BELA KEBAJIKAN WARGA GERAK KHAS