34 mahasiswa UTeM ditauliahkan Leftenan Muda RAW

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SINTOK 18 September – Seramai 34 mahasiswa Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Rejimen Askar Wataniah (RAW).

Mahasiswa yang merupakan kumpulan perintis bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terdiri daripada 27 lelaki dan tujuh wanita menerima gelaran pegawai muda dalam Istiadat Pentauliahan Diraja di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Istiadat itu disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Naib Canselor UTeM yang juga merupakan Komandan PALAPES UTeM, Kolonel (Kehormat) Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pentauliahan ini menjadi detik sejarah kerana telah berjaya menghasilkan kumpulan pertama Pegawai RAW dari UTeM.

Menurutnya, pelajar tahun akhir adalah kumpulan perintis yang berjaya sewaktu pengambilan pertama PALAPES UTeM pada tahun 2019 yang lalu.

“Mereka telah berjaya menempuh dan melengkapkan latihan ketenteraan selama tiga tahun berdasarkan silibus Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat.

“Kumpulan tersebut juga telah menghadiri siri Latihan Tempatan yang diadakan pada hujung minggu, Latihan Berterusan dan Latihan Kem Tahunan yang diadakan pada cuti semester”, katanya dalam kenyataan media dikeluarkan.

Terdahulu, dalam istiadat diadakan itu, tiga mahasiswa universiti itu turut menerima pentauliahan iaitu Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan bagi UTeM menjadi milik kepada Pegawai Rendah Kanan (PRK) Akmal Hakim Azizi yang merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automotif) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

Manakala, Pegawai Kadet Wanita Terbaik UTeM diterima oleh Pegawai Kadet Wanita Sarjan Nuratikah Mohd Radzali pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Ia diikuti, Pegawai Kadet Jasmani Terbaik UTeM menjadi milik Pegawai Kadet Muhammad Hasif Nazli yang merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknousahawanan dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2110
Kongsi :
Previous post Lebih RM4 juta peruntukan bantu pelajar kurang berkemampuan
Next post Mayat berulat, hampir reput ditemui di Pulau Sebang
Ubah saiz-+=