Lebih RM4 juta peruntukan bantu pelajar kurang berkemampuan

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

DURIAN TUNGGAL 18 September – Peruntukan lebih RM4 juta dibelanjakan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) bagi menyantuni pelajar asnaf serta tidak berkemampuan dalam siri jelajah Program Kepimpinan Anak Muda di tujuh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, siri jelajah itu bukan sahaja memberi bantuan tetapi juga motivasi bagi memastikan mereka ini mempunyai hala tuju yang baik selepas menamatkan pengajian.

Katanya, Melaka adalah negeri kelapan dilawati dan sebelum itu tujuh lagi negeri dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM4 juta membabitkan 4,000 pelajar.

“Dalam siri jelajah ini kita turut membawa bersama personaliti terkenal untuk berkongsi penglaman sekali gus memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar ini.

“Bantuan kita bukan sahaja tertumpu kepada sumbangan wang tunai malah pelajar yang dikenal pasti turut diberikan sumbangan antaranya komputer riba ini bagi membantu pembelajaran selain meringankan beban yang dihadapi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas Perasmian Program Kepimpinan Anak Muda Negeri Melaka yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil yang mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Naib Canselor UTeM Profesor TS. Dr. Massila Kamalrudin.

Menurut Mohd Aizuddin, usaha dilakukan pihaknya itu tidak akan berjalan lancar tanpa sokongan syarikat korporat yang menjadi rakan strategik dalam merealisasikan matlamat membantu pelajar asnaf keluarga B40.

“Bila kami bergerak ke setiap negeri kita akan jalankan ‘sinergy group’ bersama syarikat korporat ini kerana kami tidak mendapat dana daripada kerajaan.

“Daripada data diperoleh di seluruh negara terdapat kira-kira 89,000 pelajar tidak berkemampuan dan kita akan cuba membantu seramai yang mampu,” katanya.

photo_2023-09-18_15-19-43
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali ditemui sempena Program Kepimpinan Anak Muda Negeri Melaka Anjuran Yayasan Prihatin Nasional di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, beliau berkata, PRIHATIN juga kini dalam perancangan untuk membangunkan program keusahawanan dengan menyediakan kiosk di universiti awam bagi melatih serta memberi pendedahan kepada pelajar tahun akhir tentang bidang perniagaan.

“Kita kini dalam perancangan untuk bangunkan program keusahawanan yang mana kita bersama rakan korporat akan menyediakan kiosk di universiti awam yang dikenal pasti malah kesemua kelengkapan sudah tersedia untuk dibangunkan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Pelajar tahun akhir yang mempunyai minat dan jiwa keusahawanan akan diambil bekerja di kiosk tersebut dengan dipimpin oleh mentor dalam kalangan orang industri,” katanya.

Terdahulu, seramai 2,000 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar UTeM, pensyarah muda dan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari seluruh Melaka menyertai Program Kepimpinan Anak Muda selain seramai lebih 600 pelajar menerima bantuan awal pendidikan .

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

878
Kongsi :
Previous post KUAM2023: Himpun 41 jentera udara
Next post 34 mahasiswa UTeM ditauliahkan Leftenan Muda RAW
Ubah saiz-+=