KUAM2023: Himpun 41 jentera udara

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BATU BERENDAM 18 September – Pengunjung singgah ke Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM2023) berpeluang merasai pengalaman menaiki helikopter dan melihat lebih dekat pelbagai jenis pesawat yang dipamerkan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pengunjung akan dibawa terbang selama 10 minit, pada ketinggian 5,000 kaki sambil meninjau sekitar Negeri Melaka dan Batu Pahat, Johor.

Katanya, KUAM2023 yang berlangsung tiga hari bermula 29 September hingga 1 Oktober depan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) turut menawarkan pelbagai lagi aktiviti menarik buat pengunjung.

“Karnival ini akan menghimpunkan 41 jenis pesawat, helikopter dan dron daripada pelbagai agensi, persatuan dan syarikat termasuk dari luar negara.

“Pengalaman menaiki helikopter merupakan antara tarikan utama pada karnival itu dimana caj terendah RM270 dikenakan buat seorang. Setiap kali penerbangan helikopter digunakan akan membawa lima penumpang.

“KUAM2023 merupakan penanda aras Melaka dalam menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan ia bakal diadakan lagi pada tahun hadapan,” katanya.

WhatsApp Image 2023-09-18 at 15.26.30
ABDUL Razak pada Mesyuarat Penyelarasan KUAM 2023 diadakan di LTAM, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan KUAM 2023 di LTAM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut,  beliau berkata KUAM yang mempamerkan pelbagai jenis pesawat itu turut disertai wakil antarabangsa seperti Singapura, Jerman, Australia, Taiwan dan Rusia.

“Kerajaan Negeri menerima banyak pertanyaan daripada wakil agensi berminat, namun atas kekangan tertentu kita terpaksa mengehadkan penyertaan dari negara luar.

“Pada siri akan datang tahun hadapan kita akan melakukan penambahbaikan daripada aspek aktiviti dan menggandakan jumlah panyertaan pesawat,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1354
Kongsi :
Previous post Dua rentung, lapan unit rumah kedai terbakar
Next post Lebih RM4 juta peruntukan bantu pelajar kurang berkemampuan
Ubah saiz-+=