40 artifak kewujudan Hang Tuah dipamer Mei ini – KM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 28 Februari – Sebanyak 40 artifak mengenai sejarah kewujudan Laksamana Hang Tuah akan dipamerkan kepada umum menerusi Ekspo Penyelidikan Hang Tuah pada Mei ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, artifak bakal dipamerkan itu adalah hasil penyelidikan yang dilaksanakan di beberapa buah negara yang pernah dijelajahi Hang Tuah.

“Artifak ini akan di bawa pulang ke bumi Melaka untuk dipamerkan kepada umum Mei nanti. Antaranya adalah keris yang dijumpai di Okinawa, Jepun dan warkah Hang Tuah.

“Apa yang dilakukan adalah bagi menyelesaikan tentang kekusutan sejarah selama ini tiada ketulenannya. Penyelidikan dijayakan dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL), kita jumpa banyak artifak yang mengukuhkan kewujudan Hang Tuah sejak kurun ke-15,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Buku Malaysia & Majlis Pelancaran Buku TVET Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBM), Tan Sri Prof. Dr. Latiff Abu Bakar dan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalruddin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata hasil penyelidikan itu terbukti Hang Tuah seorang pahlawan yang hebat dan bijaksana.

“Hang tuah seorang yang cukup hebat dan bijaksana yang pernah ke negara China, Jepun, India, Turki dan Rom,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post Pemilik gagal jaga kebersihan luar premis, MBMB keluarkan tujuh notis
Next post Ibu mengaku salah beri anak minum susu bercampur dadah methamphetamine
Ubah saiz-+=