
40 SYARIKAT PENGENDALI BAS DI MELAKA AKAN DIAUDIT MENYELURUH
AYER KEROH 23 Jun – Sebanyak 40 buah syarikat pengendali bas di negeri ini bakal menjalani proses audit menyeluruh dalam masa terdekat bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan keselamatan pada tahap terbaik.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata proses audit terbabit akan melibatkan pelbagai aspek seperti pengurusan operasi syarikat, pematuhan jadual perjalanan, tahap kelayakan dan disiplin pemandu.
“Kita menyambut baik usaha Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli yang mengumumkan untuk melaksanakan pengauditan terhadap 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) berisiko tinggi melalui strategi penguatkuasaan Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA) bermula Isnin (hari ini) .
“Bagi Negeri Melaka kita akan audit sebanyak 40 buah syarikat pengendali bas dan langkah ini merupakan usaha berterusan yang mana kita juga mahu mengelakkan insiden meragut nyawa atau tidak diingini berlaku secara kerap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan MyLesen B2 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Kamal Hisham Abu Bakar dan Pengarah JPJ negeri, Siti Zarina Mohd Yusop serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Hameed memaklumkan pihaknya dalam usaha merangka satu garis panduan khusus bagi mengawal selia pergerakan bas sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) keluar masuk di negeri ini.
Katanya, kertas cadangan berkaitan perkara itu sedang dibangunkan bersama JPJ negeri sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan lanjut.
“Buat masa ini, belum ada mekanisme yang jelas untuk memantau dan menyelia operasi bas yang terlibat dalam lawatan sekolah atau program melibatkan kumpulan pelajar.
“Sebagai langkah awal, kita merancang untuk mengadakan pertemuan bersama semua pemandu bas atau syarikat pengendali bas yang beroperasi babitkan IPT seluruh negeri dalam masa terdekat.
“Saya sendiri akan bertemu dengan mereka bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas sebelum pelaksanaan garis panduan ini diperincikan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.