400 individu ditahan inkar SOP di seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PUTRAJAYA 2 Mac. – Seramai 400 individu telah ditahan pihak berkuasa berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di negara ini, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu seramai 352 dikompaun manakala 48 individu direman.

Katanya, antara pelanggara SOP yang direkodkan seperti gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri atau pelanggan, sebanyak 106 kes, aktiviti pusat hiburan (102) dan tidak memakai pelitup muka (92).

“Selain itu seramai 35 ditahan atas kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran, tiada penjarakan fizikal (34) dan lain-lain (31),” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, 3,369 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada 15,075 anggota telah melakukan 71,594 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP di seluruh negara.

“Sebanyak 5,570 restoran, 2,212 penjaja, 4,408 pasar raya, 3,972 bank, 1,747 kilang, 3,644 tempat ibadah, 2,062 pasar awam dan pasar tani, 1,542 tempat riadah dan 1,004 pejabat kerajaan telah diperiksa,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mengenai kawalan sempadan negara, Operasi Benteng dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Semalam, Op Benteng berjaya menahan lapan pendatang tanpa izin (PATI) serta merampas lima kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

“Dalam operasi itu juga, 74 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui dua aktiviti penglihatan.

“Secara kumulatif, sehingga 28 Februari 2021, seramai 12,121 PATI serta 922 tekong telah berjaya ditangkap,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 445 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng juga dilaksanakan diseluruh negara iaitu Op Benteng atau penawar yang membabitkan PDRM, ATM dan
RELA sebanyak 389 SJR, Op Benteng PDRM (47 SJR) dan Op Benteng AKSEM, sembilan SJR.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

374
Kongsi :
Previous post Melaka lancar aplikasi ‘Perjalananku’
Next post Kompaun RM10,000 bukan untuk aniaya rakyat
Ubah saiz-+=