Kompaun RM10,000 bukan untuk aniaya rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 2 Mac. – Kerajaan memberi jaminan kompaun maksimum RM10,000 bagi mereka yang melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan mengikut budi bicara dan tidak akan menganiaya rakyat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kompaun maksimum itu adalah untuk mereka yang melakukan kesalahan berulang kali dan kategori kesalahan ingkar yang berat.

“Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara) juga dah beritahu kalau setakat tidak pakai mask (pelitup muka), tiada penjarakan fizikal itu tidak akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000, rakyat perlu memberikan kepercayaan bahawa PDRM akan menggunakan akta tersebut untuk menjaga rakyat, bukan untuk menganiaya,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Pada 25 Februari lepas, dilaporkan individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 akan berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post 400 individu ditahan inkar SOP di seluruh negara
Next post Kes positif COVID-19 menurun kepada 1,555 kes
Ubah saiz-+=