Sorting by

×

458 PENJAWAT AWAM MELAKA TERIMA APC, AKP

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Oktober – Seramai 419 penjawat awam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 39 penerima Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP) bagi tahun penilaian berakhir 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu daripada 36,000 penjawat awam yang menjadi nadi penggerak kepada pelaksanaan dasar serta inisiatif Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, kecemerlangan penjawat awam yang diraikan menjadi bukti nyata bahawa mutu dan integriti perkhidmatan awam negeri sentiasa berada di landasan terbaik.

“Penjawat awam diseru untuk terus menjadi pemacu utama transformasi negeri seiring dengan tema ‘Melakaku Maju Jaya: Penjawat Awam Pemacu Transformasi Negeri’ yang menekankan peranan penting mereka dalam memacu kemajuan negeri menuju masa depan yang lebih mampan.

“Ini menjadi detik penting manifestasi penghargaan kerajaan dalam mengangkat martabat insan-insan cemerlang yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi demi memastikan negeri Melaka terus melangkah maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri (MAPAN) Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang telah banyak menyumbang kepada pengukuhan sistem penyampaian kerajaan.

“Tanpa sumbangan semua penjawat awam, mana mungkin Melaka gah di pentas dunia. Terima kasih semua penjawat awam.

“Kejayaan penganjuran pelbagai acara berprestij seperti Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025); pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) serta pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) membuktikan kecekapan jentera Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda pembangunan rakyat,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post POLIS MELAKA TIDAK LAGI BERLEMBUT KE ATAS PELAJAR SEKOLAH
Next post MELAKA SASAR 90 PERATUS KEPUASAN RAKYAT MENJELANG 2026