Sorting by

×

5 DEKAD, KRT WATAK PENTING PERKUKUH PERPADUAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 18 September – Selama 50 tahun, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini telah memainkan peranan penting dalam memupuk keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kejayaan itu merupakan hasil sokongan KRT yang ada di seluruh negeri, di mana sebahagiannya kekal aktif sejak ditubuhkan setengah abad lalu.

Katanya, pada tahun 2024, sebanyak enam KRT negeri progresif dan berjaya diangkat manakala tahun 2025 sebanyak sembilan lagi KRT negeri bakal menerima pengiktirafan.

“Melaka mempunyai 258 KRT yang mana 200 daripadanya masih aktif dan menganjurkan pelbagai program komuniti sepanjang tahun.

“Setiap KRT aktif akan menerima geran sebanyak RM6,000 daripada Kementerian Perpaduan Negara.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi menggiatkan lagi pelbagai program yang dianjurkan KRT negeri demi memperkukuh perpaduan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri Melaka 2025 di Hotel MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abd Azis; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim dan Pengarah Perpaduan Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Hee Sem berkata, KRT negeri juga terbukti berkesan kepada kesihatan awam apabila aktiviti gotong-royong dan kebersihan yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu mengurangkan kes denggi di negeri ini.

“Pada tahun lalu kes wabak denggi di Melaka melebihi 2,200 kes manakala tahun ini hingga September hanya 800 kes sahaja direkodkan, sekali gus memperlihatkan penurunan sebanyak 52 peratus.

“Ini jelas membuktikan bahawa usaha KRT negeri dalam membantu komuniti sejagat menghindari wabak denggi sangat berkesan seterusnya menjaga kesejahteraan komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4495
Kongsi :
Previous post BOT PANCUNG BAWA 20 PATI DITAHAN DI PERAIRAN TANJUNG KLING