50 doktor kontrak adakan protes di Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BUKIT PALAH 26 Julai – Kira-kira 50 doktor kontrak melakukan protes aman bagi menunjukkan solidariti berkaitan perjawatan mereka di parkir Hospital Melaka, di sini, sebentar tadi.

Kumpulan doktor terbabit didapati membawa plakad bagi menunjukkan bantahan mereka berdekatan lobi utama hospital itu.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati tiada sebarang kekecohan sepanjang protes itu berlangsung.

Seorang doktor yang enggan dikenali berharap tindakan segera perlu diambil kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan perjawatan pegawai kontrak di hospital terbabit.

 

CEKAL…doktor kontrak yang menyertai protes sambil membawa plakad.

Katanya, terdapat penyelesaian sebelum ini bagaimanapun ia memberi jaminan jangka masa pendek kepada mereka iaitu hanya diberi pemanjangan kontrak dalam perjawatan itu.

“Kita mahukan penyelesaian jangka masa panjang agar karier yang dipegang ini membolehkan kami diserap menjadi kakitangan sekali gus membuka peluang kami mencapai peringkat doktor pakar.

“Kesemua doktor hari ini adalah terdiri dari kakitangan tidak dijadualkan bertugas dan kebanyakkannya adalah doktor dari jabatan yang tidak kritikal dan memberi jaminan tiada isu yang akan menjejaskan perkhidmatan perawatan dan kesihatan pesakit di Hospital Melaka,” katanya kepada pemberita.

Protes dimulakan tepat jam 11 pagi dan berlangsung selama 10 minit sebelum diarah bersurai oleh kakitangan hospital bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Bantahan itu bagaimanapun diteruskan sekitar jam 11.35 bagi meluahkan solidariti berkaitan perjawatan golongan terbabit.

ANGGOTA polis turut mengawal bantahan yang dilakukan kumpulan doktor kontrak. Foto – MR Azli.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 23,000 doktor berjawatan kontrak dijangka mengadakan demonstrasi di seluruh negara pada hari ini selepas pelbagai usaha kumpulan itu untuk mendapatkan penyerapan ke jawatan masih gagal.

Namun, pada 23 Julai lalu kerajaan bersetuju supaya lantikan kontrak kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi untuk ditawarkan kontrak perkhidmatan dua tahun, sebaik tamat tempoh khidmat wajib mereka.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, keputusan itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun, bagi pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

811
Kongsi :
Previous post Kluster ‘Tempat Kerja’
Next post MUFC masih belum selamat – Zainal
Ubah saiz-+=