MUFC masih belum selamat – Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MASIH banyak perlu dilakukan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) untuk keluar dari zon penyingkiran dan kekal beraksi di Liga Super musim depan.

Itu reaksi Ketua Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan selepas anak buahnya berjaya mencuri satu mata selepas mengikat Sri Pahang FC, 1-1 dalam aksi di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Zainal berkata, walaupun ketika ini skuad Hang Tuah berjaya keluar dari kelompok dua pasukan tercorot, namun perbezaan mata dengan dua lagi pasukan bawahan tidak jauh beza.

Justeru katanya, dengan baki lapan lagi perlawanan, pasukannya perlu mengutip mata bagi mengelakkan peluang beraksi di Liga Super musim depan akan terkubur.

“Kita masih belum selesa, masih belum selamat. Mahu atau tidak kita perlu mengutip mata kerana pasukan seperti Pahang dan Perak tidak jauh beza dengan kita.

“Saya sangat berharap pemain, khususnya yang baharu dapat mencipta keserasian dengan cepat untuk beri impak besar kepada pasukan mengutip mata berharga dalam semua baki perlawanan,” katanya dalam sidang media selepas aksi menentang Sri Pahang FC malam tadi.

Dalam aksi itu, MUFC bangkit di saat-saat akhir untuk mengikat Sri Pahang FC 1-1 hasil jaringan pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria tiga minit sebelum masa sebenar tamat.

Mengulas mengenai keputusan dramatik itu, Zainal memuji kesungguhan ditunjukkan pemainnya yang tidak putus asa untuk bangkit mengejar walaupun ketinggalan seawal minit pertama.

“Kecuaian pada minit-minit awal telah mendera kita dan membuatkan kita terpaksa bekerja lebih keras untuk bangkit.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pemain yang tidak berputus asa hingga ke wisel penamat dan membolehkan kita membawa pulang satu mata berharga ini.

“Saya berharap aksi menentang Terengganu FC di Stadium Hang Jebat pada Rabu ini, pasukan dapat meningkatkan lagi prestasi mereka untuk membolehkan kita mengutip mata di laman sendiri,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

758
Kongsi :
Previous post 50 doktor kontrak adakan protes di Hospital Melaka
Next post Vaksin amat dinantikan warga emas dan OKU
Ubah saiz-+=