Vaksin amat dinantikan warga emas dan OKU

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SUNGAI UDANG 26 Julai – Pemberian vaksin kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) secara jumpa terus atau ‘walk in’ mulai hari ini amat melegakan golongan terbabit.

Selepas menerima maklumat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Melaka membenarkan warga emas berusia lebih 60 tahun dan OKU berbuat demikian, mereka hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sungai Udang di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang.

Zakariah Osman, 72, berkata beliau mendaftar penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera pada Mac lalu tetapi masih belum dipanggil menghadiri janji temu untuk menerima suntikan.

“Puas saya tunggu dan asyik membuat semakan di MySejahtera tetapi masih belum ada jawapan yang menggembirakan.

“Saya hadir di dewan ini selepas anak saya memaklumkan sudah ada kebenaran untuk warga emas berusia lebih 60 tahun dan OKU hadir di PPV secara ‘walk in’ dan alhamdulillah, Allah izinkan saya menerima vaksin hari ini,” katanya di PPV itu.

Bapa empat anak berusia antara 33 hingga 43 tahun itu berkata, pandemik COVID-19 adalah ujian Allah dan manusia yang dikurniakan akal fikiran, wajib berikhtiar mencari penawar atau merawatnya.

 

MUHAMMAD HAZIQ dan bapanya Noradly menunggu giliran untuk menerima vaksin secara ‘walk in’ di PPV Sungai Udang di Dewan JAPERUN Sungai Udang, Tanjung Kling.

Sementara itu, remaja OKU, Muhammad Haziq Adymey Noradly, 18, turut hadir di dewan itu untuk turut menerima vaksin.

Bapanya, Noradly Safar, 42, berkata sejak mendaftarkan anaknya melalui aplikasi MySejahtera, anaknya sering bertanya bila tarikh untuk dia menerima suntikan.

“Anak sulung saya ini mengalami masalah saraf sejak lahir yang menyebabkan dia tidak mampu berjalan dan bertutur seperti manusia normal tetapi sejak saya memberitahunya dia akan menerima suntikan, dia asyik bertanya bila akan disuntik.

“Semalam saya mendapat maklumat OKU dan warga emas dibenarkan ‘walk in’ hari ini dan saya tidak mahu anak terlepas peluang itu,” katanya.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, warga emas berusia lebih 60 tahun dan OKU yang belum menerima vaksin, dibenarkan mendapatkan vaksin di PPV Awam secara ‘walk in’ mulai hari ini.

Bagaimanapun, program mulai jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari itu dihadkan hanya untuk 50 penerima sehari melalui konsep siapa yang hadir awal, akan diutamakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post MUFC masih belum selamat – Zainal
Next post Lebih 12,000 penduduk Ayer Keroh bantah penempatan pekerja asing
Ubah saiz-+=