Lebih 12,000 penduduk Ayer Keroh bantah penempatan pekerja asing

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

PERINGGIT 26 Julai- Hampir 12,000 penduduk di Ayer Keroh membabitkan lebih 10 taman perumahan membantah penempatan pekerja asing di kawasan kediaman mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pekerja Asing Kawasan Ayer Keroh, Ismail Othman berkata, kewujudan kluster industri dalam kalangan pekerja asing mencetuskan kebimbangan dan kegusaran penduduk.

Katanya, bancian dilakukan pihaknya mendapati hampir 200 rumah melibatkan tujuh taman sekitar Ayer Keroh disewakan sebagai kediaman pekerja asing.

Jelasnya, masalah itu berlarutan lebih 10 tahun dan penduduk telah lama bersabar dengan masalah sosial yang sering dilakukan pekerja asing terbabit.

“Kita sering menerima aduan penduduk tempatan berkaitan pekerja asing yang menyewa di kejiranan mereka, seperti pergaulan bebas, mabuk sehingga menggangu ketenteraman penduduk.

“Dan lebih merisaukan, pekerja ini seperti tidak dipantau oleh majikan kerana sepatutnya masa PKP perlu duduk di rumah tetapi mereka dilihat bebas keluar masuk dan tidak mematuhi standard prosedur operasi (SOP),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan penduduk terbabit kepada Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri, Ramli Mohd Ali di Pejabat Bulan Sabit Merah, Bukit Peringgit hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Keroh, Mohd Arif Yusa.

Memorandum terbabit ditandatangani oleh 10 wakil penduduk taman perumahan di sekitar Ayer Keroh.

Sementara itu, Timbalan Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Taman Tasek Utama, Mohd Zaini Mohd Ashri meminta pihak berwajib untuk menempatkan lokasi pekerja asing terbabit jauh dari kawasan perumahan.

Menurutnya, meskipun perbincangan bersama pihak kilang telah dibuat dan tindakan memindahkan pekerja asing yang positif COVID-19 ke kawasan penempatan lain dilakukan, namun penduduk tetap gusar saki baki pekerja asing yang masih tinggal di kejiranan mereka.

“Apa yang membimbangkan penduduk sekarang ini, apabila pekerja asing yang dikatakan negatif itu adalah kontak rapat pekerja yang positif dan hampir kesemua mereka tidak mengamalkan SOP yang sepatutnya.

“Yang lebih merisaukan apabila berlaku penambahan 10 peratus pekerja asing di kawasan perumahan Taman Tasek Utama melalui bancian yang dilakukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post Vaksin amat dinantikan warga emas dan OKU
Next post Pekerja asing mula dipindahkan ke CLQ
Ubah saiz-+=