Pekerja asing mula dipindahkan ke CLQ

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PERINGGIT 26 Julai – Seramai 3,200 pekerja asing di taman perumahan sekitar Ayer Keroh dan Taman Tasek Utama, dekat sini,  sedang dipindahkan ke kuarters pekerja berpusat (CLQ) di Ayer Keroh dan Durian Tunggal.

Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri, Ramli Mohd Ali berkata, inisiatif itu bertujuan mencegah risiko penularan COVID-19 kepada penduduk di perumahan itu.

Katanya, persetujuan bagi pemindahan itu dicapai menerusi pertemuan pihaknya bersama majikan kilang di sekitar Ayer Keroh.

“Memandangkan peningkatan kes COVID-19 di Ayer Keroh, seramai 1,400 pekerja asing ini telah dipindahkan ke sebuah bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Truckers Center atau Pusat Kenderaan Berat, Durian Tunggal.

“Beberapa syarikat dan kilang sekitar Ayer Keroh juga telah mula memindahkan pekerja asing yang terdapat di kawasan perumahan sekitar Ayer Keroh ke pusat penempatan jauh dari penduduk setempat yang terdapat di Ayer Keroh dan Durian Tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media penyerahan memorandum bantahan penduduk sekitar Ayer Keroh terhadap penempatan pekerja asing di kawasan kediaman di Pejabat Bulan Sabit Merah, Bukit Peringgit hari ini.

Ramli berkata, hasil bancian mendapati masih terdapat baki 1,300 pekerja asing di Taman Tasek Utama.

“Kerajaan negeri sedang berusaha untuk menempatkan mereka ini di CLQ lain yang sedang dikenal pasti dan jauh dari penempatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sekurang-kurangnya 51 CLQ diperlukan untuk menempatkan pekerja asing di Melaka.

Dalam perkembangan lain, Ramli memberitahu 15,000 vaksin akan diberikan kepada pekerja kilang di kawasan Ayer Keroh bermula hari ini.

Katanya, penduduk tempatan tidak perlu risau kerana kerajaan negeri pasti bertindak untuk kepentingan penduduk tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

884
Kongsi :
Previous post Lebih 12,000 penduduk Ayer Keroh bantah penempatan pekerja asing
Next post Tuntutan doktor kontrak wajar tapi perlu guna saluran betul – Exco
Ubah saiz-+=