Sorting by

×

5,000 PENGUNJUNG DIJANGKA MENAIKI ECO CRUISE SUNGAI LINGGI SEPANJANG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung akan menaiki Eco Cruise Sungai Linggi sepanjang tahun ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sasaran itu berpandukan angka pengunjung bagi tempoh enam bulan pertama tahun lalu.

“Bagi 2025 ini kita menyasarkan seramai 5,000 pengunjung domestik dan luar negara akan menaiki Eco Cruise Sungai Linggi. Memandangkan pada 2024 Eco Cruise Sungai Linggi bermula pertengahan tahun kita berjaya menggamit seramai 2484 pengunjung dalam masa enam bulan.

“Lebih-lebih lagi pada tahun ini kita juga akan menyambut kedatangan pengunjung dari seluruh dunia memandangkan Melaka akan menjadi tuan rumah sempena Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai sasaran jumlah pengunjung yang akan menaiki Eco Cruise Sungai Linggi sepanjang 2025 pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, hari ini.

Menurut Abdul Razak, pelbagai usaha dilakukan PPSM bersama Tourism Melaka dan Tourism Malaysia dalam mempromosikan produk baharu pelancongan Negeri Melaka itu.

“Kita bergerak aktif dalam mempromosikan produk pelancongan baharu ini antaranya dengan mengikuti pameran serta karnival pelancongan dalam dan luar negara.

“Malah kita turut mendapat kerjasama pengamal media dalam mempromosikan Eco Cruise Sungai Linggi ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

284
Kongsi :
Previous post MELAKA SERIUS GEMPUR TREND VAPE DALAM KALANGAN REMAJA
Next post MELAKA SEDIA WARTA PENGHARAMAN VAPE