Bekalan parasetamol dilapor kurang di farmasi, kedai serbaneka

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Bekalan parasetamol, ubat yang lazimnya digunakan bagi melegakan demam dan sakit kepala, dilaporkan mengalami kekurangan dan agak sukar didapati di farmasi komuniti dan kedai serbaneka di ibu negara serta beberapa tempat lain.

Menerusi tinjauan di premis farmasi komuniti baru-baru ini, bahagian rak yang mempamerkan bekalan ubat berkenaan, terutamanya sebuah cap dagang terkemuka, didapati kosong berikutan permintaan tinggi daripada pengguna lebih-lebih lagi ketika angka kes COVID-19 yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.

Perkara itu juga dipercayai berpunca daripada pembelian meningkat sebagai persediaan mengurangkan kesan sampingan seperti demam, sakit sendi dan sakit kepala selepas menerima suntikan dos penggalak, demikian menurut beberapa pegawai farmasi yang ditemui.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang yang turut mengesahkan perkara itu berkata menerusi maklumat diterimanya, masalah kekurangan parasetamol terutamanya melibatkan cap dagang terkemuka itu tidak hanya berlaku di ibu negara, tetapi juga di beberapa negeri lain.

Jelasnya, perkara itu sudah berlaku sejak beberapa bulan lepas berikutan pembelian yang agak tinggi ketika musim pandemik COVID-19, selain mungkin turut berkaitan dengan isu logistik membabitkan pengilang dan pengedar bagi ubat berkenaan.

“Saya dapat info daripada rakan-rakan di seluruh negara, kekurangan ini sudah berlaku beberapa bulan, mungkin boleh dapatkan maklumat daripada syarikat berkaitan sama ada perkara ini berlaku di peringkat pengilangan atau pengedaran.

“Sebab semua yang terlibat dengan pembuatan sama ada melibatkan ramuan bahan, atau peringkat pembungkusan dan logistik akan mempengaruhi ketersediaan stok di seluruh negara,” katanya.

Orang ramai dalam media sosial turut meluahkan kesukaran mendapatkan bekalan parasetamol antaranya pengguna Facebook Josepihine Joey yang menulis: “Kelmarin siang sampai petang tidak jumpa ubat paracetamol (parasetamol), sambung lagi cari di farmasi, kedai runcit dan supermarket (pasar raya) pun tiada, habis stok”.

Pemilik akaun Twitter @fxizmiller pula dalam ciapannya menulis: “Apa kes susah sangat nak cari panadol actifast ni, jenuh pusing Bangi, Petaling Jaya dan Seremban masa balik kampung last week (minggu lepas), semua habis,” katanya.

Perkara itu turut menyebabkan ada juga yang mengambil inisiatif membeli bekalan ubat berkenaan melalui aplikasi e-dagang seperti Shopee dan Lazada. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Previous post PM seru rakyat ambil peluang inisiatif peluang kerjaya anjuran KPT
Next post MPV terbabas, pemandu dan penumpang maut