Sorting by

×

64 kanak-kanak ‘habis pantang’ diraikan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PENGKALAN BATU 2 Mac – Seramai 64 kanak-kanak yang dikhatankan menerusi Program Khatan Percuma anjuran Pertubuhan Komuniti Legacy Group Berhad Comleg (Malaysia) diraikan pada satu majlis di sebuah restoran, di sini, malam tadi.

Pengerusi Comleg Datuk Zulkifli Ibrahim berkata, majlis makan malam itu bertujuan untuk meraikan semua peserta termasuk ibu bapa kanak-kanak yang berkhatan pada 19 Februari lalu.

Katanya, majlis ringkas itu juga merupakan antara program kemasyarakatan yang sering dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Pada malam ini kesemua yang hadir dianggarkan seramai 250 orang termasuk peserta (kanak-kanak) dan ibu bapa mereka.

“Kita raikan mereka yang mengikuti program khatan yang kita anjurkan, dan jemput ibu bapa untuk kita jadikan mereka semua anak angkat kepada NGO kita,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) pada majlis tersebut.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sejak ditubuhkan pada 2020 yang lalu, pertubuhannya sering menganjurkan program atau aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

Ia termasuklah menganjurkan program khatan percuma sejak tiga tahun lalu dan bakal diangkat menjadi acara tahunan.

“Selain khatan percuma, pertubuhan kami juga ada menyediakan bantuan kepada golongan memerlukan atau ‘Gerobok Rezeki’ di bangunan lot bersebelahan KipMall.

“Inisiatif itu sudah dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama sehingga kini masih dijalankan.

“Kita berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan dan mereka yang memerlukan boleh ambil secara percuma barangan asas seperti beras, telur dan pelbagai lagi yang disediakan di premis kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Banjir: Mangsa di Melaka meningkat
Next post Banjir: 12 jam tunggu tanpa makanan, anak lega ibu bapa diselamatkan
Ubah saiz-+=